Saturday, June 8, 2019

Merenung kalimat daripada seorang sahabat



Ada seorang sahabat pernah berkata 'Ilmu pengetahuanmu luas, Zell. Tapi kau perlu mendalami lagi ilmu-ilmu itu.'

Aku berfikir sejenak. Menganalisa kebenaran kata-kata sahabat aku itu. Situasi ini mengingatkan aku tentang kelas yang aku hadiri pada zaman universiti. Apa yang dibahas oleh pensyarah pada ketika itu adalah mengenai 'depth VS breadth'. 

Fikiranku merenung kembali kepada keadaan semasa. Lalu aku memberikan balasan, 'Apa yang saya pelajari ini baru permulaan dan saya perlu mula memahami dari dasarnya. Tanpa memahami konsep-konsep dasar, maka konsep-konsep yang rumit tidak akan dapat kita fahami. Menelaah ilmu harus bermula dari dasar dan fundamentalnya.'

Walaupun aku memiliki pengetahuan yang luas seperti apa yang dinilai leh sahabat aku sebentar tadi, tetapi permulaan ku hanya selepas menamatkan pelajaran di universiti. Ironi, bukan? Mungkin tidak. Sebab universiti berfokuskan 'depth' dan bukan 'breadth'. Ianya juga dilihat sebagai kilang memproses para pekerja yang mempunyai pengetahuan dalam bidang-bidang tertentu. Aku hanya mula menjelajahi ilmu-ilmu di luar bidang ku pada level dasarnya saja pada umur yang hampir mencecah 30-an ini. Lalu ia membuatkan aku terfikir, alangkah baiknya jika aku dapat putarkan masa dan kembali ke 10 tahun yg lalu. Diriku yang sekarang ini sungguh kecewa dengan diriku yg pada masa dahulu. Jika aku sudah bermula sejak dahulu, mugkin aku telah memiliki bukan sahaja ilmu pengetahuan yang luas, malah juga telah mendalami ilmu-ilmu tersebut sehingga ke konsep-konsep yang rumit dan berupaya untuk menganalisa dan mensintesiskannya. 

Aku melihat ramai generasi muda yang umur mereka jauh lebih muda daripada aku. Ilmu politik, falsafah dan sainsnya jauh lebih mendalam daripada aku. Rasa iri hati ada. Rasa terinspirasi pun ada.

Saya tidak dapat kembali kepada diriku ketika berusia 18 tahun. Meskipun rasa ingin tahu ini sudah pun berpaut pada ketika itu, tetapi penjelajahan untuk mengembangkan pengetahuan-pengetahuan itu dihalang oleh ilmu-ilmu dan kewajipan yang mempunyai nilai fungsionalis dan praktikal di dunia nyata. Ilmu-ilmu yang hanya disumbat dengan rasa paksa yang tidak diiringi oleh pemikiran kritis yang seterusnya akan disoal dan dijawab pada helaian-helaian kertas. Dengan kerajinan dan komitmen yang konsisten, kertas-kertas tersebut seterusnya akan menjadi sehelai skrol. Tetapi bak kata pak Rocky Gerung, seorang pengamat politik Indonesia, 'Ijazah bertanda anda pernah bersekolah, bukan tanda anda pernah berfikir.'

Ilmu yang ditelaah ketika menuntut di menara gading tidaklah kurang pentingnya meskipun ianya hanya untuk tujuan fungsionalis dan praktikal. Tetapi bagi seseorang seperti aku ini, ianya tidak seharusnya ditimba pada waktu itu sahaja. Nilai konkritnya dihargai, tetapi nilai abstraknya seringkali diabaikan dan hanya tinggal dihafal dan dilupakan di saat mahasiswa dan mahasiswi meninggalkan dewan peperiksaan.

Aku bukan graduan politik, tetapi aku ingin mempelajari ilmu-ilmu politik.
Aku bukan graduan falsafah, tetapi aku inigin mempelajari ilmu-ilmu falsafah.
Aku bukan graduan sains alamiah, tetapi aku ingin mempelajari ilmu-ilmu sains alamiah.

Entah apakah jenis bidang ilmu seterusnya yang mindaku akan resap.
Luas atau dalam,
atau kedua-duanya sekali,
Tetapi rasanya,
ianya tidak terlambat.

No comments: